Masa berlalu begitu pantas sekali,sedar tidak sedar kita sudah di penghujung tahun.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tanpa terasa tahun 1430 Hijrah segera berlalu
meninggalkan kita dan kini tiba pula tahun baru 1431 Hijrah.Dalam masa yang sama masyarakat dunia turut menyambut ketibaan tahun baru masihi 2010,di mana sambutan tersebut telah dan akan menzahirkan adat dan budaya yang begitu berbeza mewarnai cara sambutan terhadap tahun baru yang datang menyapa.
Selamat menyambut Tahun Baru Hijrah 1431, semoga pada tahun baru ini umat Islam dan sekalian masyarakat amnya akan dikurniakan Allah taufik dan hidayah yang akan membawa Malaysia kita ke arah yang lebih baik dan rakyatnya dapat menghayati kehidupan yang bersih dan diredhai Allah.
Matlamat utama Hijrah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan para sahabat itu ialah
untuk menyelamatkan Islam, akidah dan keyakinan umat Islam,bukan kerana mencari kekayaan berganda-ganda, berniaga dan urusan dunia yang lain,tetapi kerana mereka itu meletakkan Allah dan Rasul-Nya sebagai matlamat penghijrahan demi mendapat rahmat dan keampunan dari Allah s.w.t, sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 218, yang bermaksud:-
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam),mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Wallahu'alam.
DOA AKHIR TAHUN:
" Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda .
Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku banyak melakukan larangan Engkau, tetapi aku belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau menangguhkan azab Engkau yang sudah ditetapkan kepadaku. Engkau memerintahkan aku supaya bertaubat daripada kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku bertaubat dan memohon keampunan daripada Engkau, ampunilah aku. Apa aku lakukan pada tahun ini Engkau redai dan Engkau janjikan pahala, maka aku memohon daripada Engkau, ya Allah, ya Karim, ya Zaljalali wal ikram, terimalah permohonan ini dan janganlah Engkau hampakan harapanku, wahai Tuhan Maha Mulia. Selamat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekalian sahabatnya. Segala puji bagi Allah memelihara dan mentadbir sekalian alam."
" Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekalian para sahabatnya.
Ya Allah , Engkaulah yang kekal abadi, demi kelebihan Engkau yang Maha Agung dan kemurahan Engkau yang melimpah, sesungguhnya pada tahun baru ini aku memohon kepada Engkau perlindungan daripada syaitan, koncunya, tenternya dan penolongnya. Dan aku memohon perlidungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan aku dengan perkara tidak berfaedah daripada mendekatkan diri kepada Engkau. Wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. Wahai Tuhan yang lebih penyayang daripada segala yang penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekalian para sahabatnya. Segala Puji bagi Allah yang memelihara dan mentadbir sekalian alam."
0 comments:
Post a Comment